DEFINISI ETIKA

PERBANDINGAN ETIKA TIMUR DAN BARAT

Definisi

Moral

Daripada perkataan Greek: mores; Suatu cara perlakuan yang telah menjadi adat kebiasaan sesuatu kumpulan manusia kerana telah diterima dan dipersetujui bersama oleh kumpulan tersebut


Etika

Diambil daripada perkataan Latin: Ethos, yang bermaksud adat atau keperibadian (custom or character) Antara aspek utama etika ialah "kehidupan baik", iaitu kehidupan yang bernilai atau memuaskan, yang dianggap lebih penting daripada tingkah laku moral oleh banyak ahli falsafah. Antara isu utama dalam etika ialah pencarian summum bonum, iaitu "kebaikan yang terbaik". Tindakan yang betul dikatakan mengakibatkan kebaikan terbaik, manakala tindakan tak bermoral dikatakan menghalangnya

Mengikut Kamus Dewan, (2005: 401) etika adalah prinsip moral atau akhlak atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan (persatuan, pekerjaan dan lain-lain). Adapun Institut Integriti Malaysia (2007 : 17) pula mendefinisikan etika sebagai himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesyen.

Terdapat beberapa dimensi etika iaitu;

1.    Pentaakulan moral

Melibatkan pemikiran dan pertimbangan secara bebas. Perlakuan moral dikaitkan engan tingkah laku dan tindakan individu terhadap sesuatu keputusan yang ditunjukkan dengan penuh perasaan tanggung jawab, tetapi mengikut kemampuan

2.    Perasaan moral

Ialah emosi dan kehalusan perasaan individu yang mengandungi sentimen, empati, simpati, prihatin, belas kasihan, altruistik dan murah hati


Perbezaan moral dan etika:

Moral dirujuk atau dikaitkan dengan tingkah laku yang benar-benar dilakukan. Manakala Etika merujuk kepada pengajian tentang perangai dan tingkah laku dan juga merujuk kepada sejumlah sistem ataupun peraturan/undang-undang yang dikaitkan dengan sesuatu kerjaya


Etika dan moral mengikut Islam

Persoalan tentang peraturan dan penilaian tingkah laku manusia terhadap dirinya dan makhluk yang lain hanya akan dapat dijelaskan dengan nyata apabila diketahui dan ditubuhkan status dan kedudukan manusia di dalam alam ini dan hubungannya dengan makhluk lain. Samalah jika kita ingin menyatakan apakah pendirian dan kelakuan seseorang terhadap sesuatu benda yang ada padanya, maka kita seharusnya mengetahui apakah status hubungan orang itu dengan benda itu. Jika benda itu dipunyai oleh orang lain maka status orang itu hanya sebagai penyimpan amanah dan mesti berkelakuan yang sewajarnya iaitu sebagai penjaga bukan sebagai pemilik dan tidak boleh menggunakannya . Jika benda itu miliknya maka dia bolehlah menggunakan sepenuhnya.

Dalam Islam sebelum dinyatakan apakah kelakuan dan tindak tanduk yang dianggap baik bagi seseorang manusia terhadap dirinya dan orang lain dan benda-benda dalam alam ini, maka mesti dinyatakan terlebih dahulu apakah kedudukan statusnya didalam alam ini dan hubungan dengan benda-benda yang ada di sekelilingnya. Islam menyatakan bahawa manusia diciptakan oleh Tuhan dengan dua status:

1)    Sebagai ciptaan yang dipunyai oleh Tuhan yang dengan itu harus patuh,akur dengan segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan sebagai Pencipta dan Pemiliknya, yang akhirnya ia akan dikembalikan kepada Tuhan untuk disoal tentang kepatuhannya terhadap peraturan itu. Status manusia begini dikenali sebagai “abdullah” iaitu hamba atau milik Tuhan dan

2)    Sebagai “khalifah” iaitu wakil Tuhan bagi melaksanakan segala hukum Tuhan diatas dunia ini untuk memanfaatkan dirinya dan juga manusia, makhluk dan benda-benda yang lain di dunia ini.

Oleh itu segala perlakuan, tindak tanduk dan apa sahaja yang membantu ke arah menepati dan memenuhi dua status dan peranan manusia itu, dianggap sebagai baik, benar dan patut, dan oleh itu penuh bermoral dan beretika. Apakah kegiatan yang tercakup didalam dua tugas dan peranan seorang manusia yang harus dipenuhinya didalam kehidupannya dialam ini yang tercakup didalam kelakuan bermoral dan beretika mulia? Untuk mengetahui jawapan itu terlebih dahulu harus diketahui apakah hakikat kejadian manusia itu sendiri.

Berdasarkan penelitian didalam al-Quran dan hadith, ilmuan-ilmuan Islam merumuskan bahawa manusia diciptakan melalui dua unsur iaitu unsur jasmani dan rohani yang bersatu didalam satu kesatuan. Unsur jasmani ialah berasal dari tanah yang zahiriah yang dilahirkan, membesar, menjadi tua yang akan hancur sesudah mati. Manakala unsur rohani ialah unsure yang tidak berjisim yang halus iaitu unsur yang bersumberkan hembusan secara langsung daripada Roh Kudus Tuhan yang kekal (immortal) dan akan meneruskan kehidupan sesudah mati dan akan kembali kepada Penciptanya





Etika Perniagaan

Etika perniagaan adalah prinsip-prinsip moral yang standard kelakuan perniagaan yangditerima oleh komuniti peniaga dan dunia perniagaan. Ia merupakan satu set nilai dan peraturan yang merangkumi peraturan yang baik atau buruk di dalam operasi perniagaan. Pada kebiasaannya pihak kerajaan, orang ramai, pesaing dan individu menentukan apa yang boleh diterima umum. Sebagai contoh, seorang usahawan yang beretika pada kebiasaannya adalah seorang yang jujur dan amanah. Pada 8 November 1983, Etika Amalan Perniagaan Malaysia (EAPM) telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian Malaysia.

Etika ini merupakan usaha kerajaan untuk menimbulkan satu kesedaran di kalangan para peniaga supaya mempunyai tanggungjawab moral dan sosial. Etika ini diwujudkan kerana desakan pergerakan yang menyatakan terhadap peningkatan berbagai amalan yang tidak sihat ,contohnya perkhidmatan yang tidak memuaskan dan pembaziran barangan dalam pasaran.Etika perniagaan adalah penting kerana ia akan menyesuaikan perniagaan dengan nilai dan jangkaan masyarakat. Usahawan dan perniagaan dijangka mematuhi Akta danUndang-undang tempatan.

Selain daripada peraturan dan akta perniagaan, keputusan beretika dapat menguatkan perhubungan dan kepercayaan dalam dunia perniagaan.Keputusan perniagaan yang tidak beretika bukan sahaja menghilangkan kepercayaan pelanggan tetapi juga melemahkan perniagaan di kemudian hari kelak. Contoh keadaan perniagaan yang tidak beretika adalah seperti sesetengah penjual yang mengenakan harga yang berlainan terhadap pelanggan yang berlainan. Ini biasa berlaku di pasar malam atau kedai runcit. Ini dikatakan kurang beretika dan dilarang oleh undang-undang.


Etika Perniagaan dari Perspektif Al-Quran

Di samping memberi galakan kepada umat Islam untuk menceburkan diri dalam perniagaan, al-Quran juga menetapkan beberapa peraturan dan etika yang mesti dipatuhi oleh umat Islam dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka. Ini bertujuan supaya tidak berlakunya penipuan, ketidakadilan, penganiayaan dan sebagainya yang akhirnya akan membawa kepada keruntuhan ekonomi dan mengancam kesejahteraan masyarakat seluruhnya. Antara peraturan-peraturan dan
etika penting yang terpancar daripada pengajaran al-Quran ini adalah seperti berikut:

i)     Niat ikhlas
ii)    Tidak terlibat dengan amalan riba
iii)   Saling redha-meredhai
iv)   Menjauhi semua unsur penipuan
v)    Memenuhi dan menunaikan akad (kontrak)
vi)   Al-'Adl(Keadilan)
vii) Amanah
viii) Istiqamah
ix)   Menjauhi pembaziran
x)    Utamakan Kebersihan Rohani dan Jasmani
xi)   Mengamalkan Sifat al-Ta'awun
xii) Bersopan Santun
xiii) Menepati Masa